Anwar ingatkan menteri, tiada pegawai akan dilindungi jika…

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada semua ahli Jemaah Menteri untuk sentiasa memantau para pegawai mereka.

“(Mereka) tidak akan dilindungi sekiranya berlaku apa-apa perkara yang mungkin bersifat salah laku.

“(Ini kerana) tiada sesiapa pun yang terkecuali daripada undang-undang dalam negara kita,” kata Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurutnya dalam sidang akhbar mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini, perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.

Fahmi turut memberitahu Anwar sekali lagi menegaskan bahawa tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk bekas setiausaha politik kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, jika perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perdana Menteri memberi sedikit maklumat kepada Jemaah Menteri mengenai bekas setiausaha politik kanannya yang telah meletak jawatan.

“Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau tidak akan melindungi mana-mana pihak (atau) sesiapa pun sekiranya ada apa-apa aspek yang perlu disiasat oleh pihak berkuasa termasuk SPRM,” jelasnya.

Pada 25 November lalu, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

Shamsul berkata, terdapat percubaan untuk menyerang beliau dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan Madani.

BACA JUGA Jika mereka lihat apa yang saya lihat