PN, SAMM sedang kelirukan anak muda dengan isu KWSP
Perikatan Nasional (PN) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak sepatutnya meracuni pemikiran rakyat dengan asakan untuk mengadakan himpunan 5 Mei bagi mendesak kerajaan meluluskan pengeluaran ‘one-off’ KWSP semata-mata bagi meraih sokongan politik.
Aktivis masyarakat, Leman Raja Lawak atau nama sebenarnya Sulaiman Ibrahim berkata, PN tidak seharusnya menjadi pemimpin yang merosakkan pemikiran rakyat dengan bercakap kosong serta berniat jahat dengan memainkan emosi rakyat khususnya dalam isu KWSP.
“PN sedar sekiranya pengeluaran KWSP dibenarkan sekali lagi bagi jangka masa panjang ianya tidak dapat dinafikan mampu menjejaskan ekonomi negara walaupun telah ada data sebenar mengenai kesan pengeluaran tersebut dalam tempoh yang panjang.
“Bagi mereka, isu KWSP adalah isu utama yang dilihat boleh merosakkan pemikiran rakyat dan usaha sedang digerakkan bagi mengumpul pendemo melalui SAMM untuk mendesak kerajaan kini.
“Apakah mereka lupa bahawa KWSP yang dikeluarkan sebelum ini ekoran rakyat terkesan dengan pandemik Covid-19 dan kebenaran pengeluaran terbabit adalah bagi membantu rakyat yang terkesan serta membantu modal perniagaan pelbagai sektor yang terjejas,” ujar beliau dalam kenyataan.
Malah tegas Leman, gerakan yang sedang direncanakan oleh PN dan SAMM bukan suatu perkara yang baru kerana sebagai aktivis masyarakat beliau berpengalaman dan dapat menghidu rencana yang sedang dirancang.
“Kami telah dan pernah menggerakkan isu sedemikian sejak 12 tahun yang lalu dan apa yang sedang direncanakan oleh PN dan SAMM akan mendorong kearah kecamukan dan mampu menimbulkan pelbagai persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan,” kata Leman lagi.
Sebetulnya kata beliau, himpunan 5 Mei tersebut mempunyai motif politik supaya PN dan SAMM dilihat sebagai pejuang kononnya membantu rakyat dengan meracuni pemikiran mereka yang terdesak untuk mendapatkan wang.
Manakala agenda kedua ujarnya lagi ialah sekiranya berjaya mendesak kerajaan melaksananakan ‘one-off’ tidak dapat dinafikan harga barangan akan melonjak naik dan kerajaan Madani dipersalahkan.
“Yang terbaik bagi PN dan SAMM ialah hentikan permainan politik jahat demi keamanan negara dan biarlah ekonomi negara kembali kukuh dan pulih sepenuhnya dibawah pemerintahan kerajaan sedia ada kini,” saran beliau.
BACA JUGA Lebih 30,000 pemohon pinjaman pribadi guna KWSP sudah diluluskan
Â