Kes ugutan bunuh libat ‘Datuk Seri’ dan jurulatih: Polis klasifikasi NFA
Laporan polis berhubung kes ugutan bunuh yang dibuat oleh pempengaruh media sosial Caprice pada Julai lalu, telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Perkara membabitkan seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ dan jurulatih transformasi berprestasi tinggi itu terkandung dalam surat rasmi bertarikh 26 November lalu.
Surat itu ditandatangani Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superintenden Mohd Faizal Mohd Salleh, yang dialamatkan kepada Tetuan Solehuddin & Ozier.
“Kertas siasatan berkenaan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan diputuskan sebagai NFA. Barang kes akan dipulangkan dalam kadar segera,” menurut surat berkenaan, dipetik Awani.
Kes tersebut melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R. Jeyenderan, dan Syed Mohammad Murad Syed Naseem, atau Murad “Baddestcoach” Zaidi, yang telah disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
Pada 10 Julai lalu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, membuat laporan polis selepas mendakwa menerima mesej berunsur ugutan melalui Instagram.
BACA JUGA Azam arah siasatan dipercepat, Shamsul, Albert Tei dan Sofia Rini ditahan