Eksport kita pecah rekod lagi… ye ke?
Eksport Malaysia pecah rekod lagi apabila melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah dengan 15.7 peratus tahun ke tahun mencecah RM148.3 bilion, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurutnya, rekod itu adalah kenaikan untuk empat bulan berturut-turut dengan pertumbuhan yang cemerlang dipacu terutamanya oleh sektor perkilangan di mana barangan Elektrik dan Elektronik (E&E) serta barangan optic dan saintifik mencatat nilai eksport tertinggi setakat ini.
“Walaupun dunia dilanda ketidaktentuan ekonomi, industri tempatan kita masih berdaya saing.
“Lebih membanggakan, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan untuk bulan ke-66 berturut-turut sekaligus membuktikan kestabilan dan kekuatan imbangan perdagangan negara,” katanya menerusi TikTok beliau.
Dalam masa sama, Zafrul berkata, Malaysia juga menyaksikan peningkatan eksport ke rakan dagangan utama termasuk ASEAN, China, Kesatuan Eropah dan Taiwan di mana eksport ke Hong Kong dan Taiwan khususnya mencapai rekod tertinggi baharu.
“Saya ingin menyeru para pengeksport kita agar terus memanfaatkan 18 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) khususnya Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (CEPA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2025.
“CEPA mampu membuka pintu pasaran lebih luas di Timur Tengah.
“Siapa yang kata ART (Perjanjian Perdagangan Timbal Balas) menghalang perkembangan perdagangan Malaysia ke rantau lain, boleh lihat pencapaian kita.
“Fokus kita bukan Amerika Syarikat semata-mata. Kita sasarkan seluruh dunia,” kata Zafrul lagi.
BACA JUGA Sabah berhak nikmati pembangunan tersusun, doa proses demokrasi berjalan matang