960,099 pengundi muda Sabah pilih wakil rakyat baharu hari ini
Seramai 960,099 pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun daripada 1.78 juta pengundi berpeluang untuk memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hari ini.
Daripada jumlah pengundi muda itu, terdapat lebih 660,000 pengundi baharu hasil Undi18 dan pendaftaran automatik sekaligus menjadikan undi belia sebagai blok penentu terbesar dalam PRN ini.
Semua 882 pusat mengundi dan 3,559 saluran bagi pilihan raya itu dibuka serentak pada 7.30 pagi ini bagi memberi peluang kepada pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Pusat-pusat mengundi akan ditutup secara berperingkat bermula 12 tengah hari hingga penutupan penuh pada 5.30 petang.
PRN Sabah kali ini menyaksikan pertempuran sengit membabitkan 596 calon bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebanyak 22 parti politik serta 73 calon Bebas menyertai proses demokrasi ini dengan DUN Tulid yang menyaksikan pertembungan 14 calon.
Ini diikuti DUN Bandau, Tamparuli dan Inanam masing-masing membabitkan 13 penjuru serta Banggi dengan 12 penjuru.
Sebanyak 92.5 peratus atau seramai 17,615 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan polis termasuk daripada Pasukan Gerakan Am berserta pasangan masing-masing telah membuang undi pada 25 November lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan jumlah keluar mengundi hari ini melebihi 60 peratus bergantung pada keadaan cuaca semasa.
Pada PRN ke-16 pada 2020, peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 66.61 peratus.
BACA JUGA Calon PH Sulabayan ajak pengundi buat perubahan