Calon N.64 Sulabayan Utz Zulfiqar dan isteri mengundi di SK Sisipan jam 9.15 pagi

FOTO BERITA: Proses Pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah Ke-17 di SK Sisipen Pulau Bum Bum Semporna Sabah. 29hb November 2025 (Sabtu)

Proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di kawasan N.64 Sulabayan bermula pada jam 7.30 pagi ini berjalan lancar

Seawal jam 6.30 pagi, para pengundi sudah mula beratur di SK Sisipan pusat mengundi termasuk beberapa pusat komuniti di gugusan pulau sekitar Kepulauan Bum Bum. Kehadiran pengundi yang stabil sejak awal pagi menunjukkan komitmen penduduk setempat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa semua peralatan dan logistik pilihan raya telah dihantar lebih awal termasuk ke kawasan pulau yang memerlukan perjalanan bot. Cuaca yang hujan sejak jam dua pagi tidak menghalang pengundi keluar awal menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin yang bole membela nasib mereka. Untuk memudahkan pergerakan bot bot disediakan membawa pengundi dari kampung-kampung terpencil ke pusat pengundian.

Pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut ditempatkan bagi memastikan suasana aman serta membantu kawalan pergerakan orang ramai, terutama di jeti-jeti utama.

Beberapa pengundi muda yang ditemui melahirkan rasa bangga dapat mengundi buat kali pertama, manakala pengundi dewasa mengharapkan wakil rakyat yang dipilih kelak dapat memberi tumpuan kepada isu pembangunan seperti jalan perhubungan, bekalan air bersih, peluang ekonomi dan pendidikan.

Proses pengundian bermula pukul 7.30 pagi dan tutup 5.30 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi. Selepas itu, peti undi akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi di Semporna untuk proses pengiraan.

SPR mengingatkan kepada semua pengundi bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan. Sebagai peringatan, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi.

SPR menjangkakan keputusan tidak rasmi bagi kerusi N.64 Sulabayan dapat diketahui menjelang 9 malam ini, tertakluk kepada keadaan cuaca dan kelancaran pengangkutan peti undi dari pulau ke pusat penjumlahan.