Amaran hujan berterusan di 8 negeri, wilayah sudah tamat

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan penamatan amaran hujan berterusan di lapan negeri dan Wilayah Persekutuan di Semenanjung.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata negeri berkenaan membabitkan Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

“Amaran hujan berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada yang dikeluarkan pada 4.30 petang semalam untuk kawasan berkenaan ditamatkan.

“Berdasarkan analisis model-model cuaca, cuaca dijangka bertambah baik dan tiada potensi hujan berterusan,” menurut kenyataan METMalaysia, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menunjukkan pengurangan kepada 27,471 orang daripada 8,702 keluarga setakat ini.

Walau bagaimanapun, Kelantan masih menyaksikan peningkatan mangsa banjir dengan seramai 1,907 orang daripada 760 mangsa.

Trend kenaikan jumlah mangsa di PPS juga berlaku di Selangor dengan seramai 4,466 orang membabitkan 1,235 keluarga.

Pada 24 November lalu, METMalaysia memaklumkan bahawa terdapat lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) sehingga ke Mac 2026.

Jelasnya, episod hujan lebat berterusan itu mampu mengakibatkan banjir, tanah runtuh dan fenomena kepala air.

BACA JUGA Eksport kita pecah rekod lagi… ye ke?