Fahmi: Kabinet tak bincang pengampunan Najib

Isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak setakat ini tidak pernah lagi dibincangkan oleh kabinet, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berkenaan tarikh persidangan Lembaga Pengampunan, bahkan segala perbincangan dalam Kabinet juga berstatus rahsia.

“Saya juga tidak menerima apa-apa maklumat bila tarikh Lembaga Pengampunan akan bersidang. Selagi tidak ada maklumat berhubung perkara itu, saya tidak boleh ulas. Perkara yang dibincangkan ataupun tidak dibincangkan dalam Kabinet juga berstatus rahsia.

“Jadi saya tak boleh komen ataupun nafikan. Setakat ini belum dimaklumkan apa-apa mengenai tarikh itu,” katanya kepada pemberita ketika Program Hari Wartawan Nasional 2023 hari ini.

Isu pengampunan Najib menjadi isu panas setelah Majlis Tertinggi Umno sebulat suara menyokong usul tersebut.

Dalam keadaan biasa, pengampunan akan diberikan setelah seseorang banduan menghabiskan satu per tiga tempoh hukuman.

Najib telah dihukum 12 tahun penjara dan denda RM210 juta setelah didapati bersalah dalam kes SRC International.

Tempoh pemenjaraan beliau kurang dari dua tahun.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pembantu Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menunjukkan bukti dan komitmen kerajaan membanteras rasuah.

Malah Fahmi berkata, jika ada menteri ataupun kakitangan yang ditahan SPRM, mereka tidak akan dilindungi

“(Penahanan) adalah bukti komitmen (Anwar) untuk membersihkan kerajaan daripada gejala rasuah.

“Kami (kerajaan) akan membenarkan SPRM menjalankan siasatan mereka. Jika mereka yang ditahan dibawa ke mahkamah, maka kita akan mematuhi proses mahkamah

“Bagaimanapun, kita tidak boleh berprasangka kerana kita tidak ada maklumat penuh. Biarkan proses siasatan dilakukan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Sivakumar dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung penahanan seorang pegawai di pejabat menteri itu yang terbabit dalam isu membawa masuk pekerja asing.

Sivakumar maklum mengenai penahanan pegawai terbabit tetapi enggan mengulas pada masa ini kerana kes masih dalam siasatan.

Â