Pulau Pinang wilayah khas Kedah? Ini mencabar asas pembentukan Malaysia

Exco pelancongan dan ekonomi kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai telah menempelak cadangan menjadikan Pulau Pinang sebagai wilayah khas Kedah oleh seorang akademik

“Ini kerana mencabar asas pembentukan Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan,” kata Wong yang juga Adun Paya Terubong dalam satu kenyataan.

“Kenyataan tersebut telah mencabar struktur asas pembentukan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.

“Hubungan Pulau Pinang dan Kedah telah termaktub dan selesai di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan 1957 di mana Kedah dan Pulau Pinang masing-masing sebagai negeri berdaulat dan bersama-sama negeri-negeri lain membentuk Persekutuan Malaysia.

“Ini merupakan struktur asas pembentukan Persekutuan Malaysia dan juga Perlembagaan Persekutuan.”

Pengarah Pusat Kajian Ketamadunan Melayu Islam ISTAC, UIA Profesor Datuk Ahmad Murad Merican telah mencadangkan agar Pulau Pinang dijadikan wilayah khas Kedah seperti status Hong Kong di bawah China yang merupakan wilayah khas dengan autonomi tertentu.

Ahmad Murad berkata demikian pada dalam forum Merungkai Polemik Persejarahan Malaysia : Antara Fakta dan Tafsiran di UKM pada 28 Nov.

Ahmad Murad turut mencadangkan agar Pulau Pinang dijadikan sebahagian daripada negeri di bawah Wilayah Persekutuan atau memasukkan lima daerah Pulau Pinang ke dalam daerah Kedah.

Isu tuntutan ke atas Pulau Pinang telah dimulakan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor beberapa tahun lalu.

“Beliau nampaknya menari seiring dan senada dengan Menteri Besar Kedah.

“Kedua-dua kenyataan mereka telah gagal menghayati pembentukan Persekutuan Malaysia di mana Perlembagaan Persekutuan merupakan batu asas kepada pembentukan kenegaraan Malaysia,” tambah Wong.