DAP mahu laksana agenda reformasi dalam masa 6 bulan selepas kalah teruk di Sabah

DAP mengakui kekalahan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai isyarat jelas bahawa parti itu sedang berdepan krisis keyakinan yang serius, sekali gus berjanji untuk mempercepatkan pelaksanaan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam kenyataan selepas mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) berkata, keputusan PRN Sabah memberi mesej yang tidak boleh dipertikaikan daripada pengundi yang nyata tidak puas hati dengan prestasi DAP dan Pakatan Harapan (PH).

“Tidak dapat dinafikan bahawa pilihan raya kali ini mencerminkan krisis keyakinan yang serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan.

“Para pemimpin dan anggota yang terlibat dalam kempen amat peka bahawa terdapat ketidakpuasan yang meluas di kalangan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, DAP akan menghimpunkan semua maklum balas yang diterima sepanjang tempoh kempen dan bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri untuk mempercepatkan agenda reformasi nasional dalam masa enam bulan sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat.

Dalam mesyuarat yang sama, pimpinan DAP Sabah turut memaklumkan kepada CEC bahawa mereka mengambil pendirian untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan negeri, termasuk lantikan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Anthony berkata, keputusan itu dibuat bagi menunjukkan komitmen moral dan politik parti untuk fokus kepada usaha membina semula kepercayaan rakyat Sabah secara lebih telus dan bersungguh-sungguh.

“Para pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat dan berusaha mengembalikan keyakinan mereka,” tegas beliau lagi.