‘Hulu Terengganu boleh pergi Putrajaya, beritahu penjawat awam kamu tak suka projek Kota Madani’
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang sepertinya tidak suka dengan pembinaan Kota Madani kerana mempersoalkan perbelanjaan untuk mendirikan rumah penjawat awam.
Anwar berkata, Kota Madani bukan projek mega seperti pembinaan menara berkembar, sebaliknya ia adalah projek bagi menampung keperluan perumahan untuk penjawat awam ketika ini.
Beliau mempersoalkan apa salahnya menyediakan rumah tambahan untuk penjawat awam dan kenapa Hulu Terengganu begitu marah dengan projek perumahan ini.
“Kota Madani ini perbadanan putrajaya yang buat. Bukan kerajaan. Bukan dana kerajaan. Yang nak marah sangat kepada pegawai kerajaan kenapa.
“Kota Madani itu untuk 10,000 rumah pegawai kerajaan di sekitar Putrajaya kerana sekarang ini kita tidak dapat menampung. Bukan kota mega. Ini bukan twin tower,” katanya di Dewan Rakyat hari ini
Beliau pada masa sama mencabar Rosol untuk pergi ke Putrajaya dan memaklumkan kepada penjawat awam bahawa beliau tidak setuju dengan projek tersebut.
“Saya nak dengar Hulu Terengganu pergi Putrajaya bagitahu penjawat awam saya tak setuju projek perumahan Kota Madani,” ujarnya.
Rosol kemudian bangkit berkata: “Kita tak marah dekat penjawat awam. Kita cuma tanya tentang duit (perbelanjaan) itu”.
Anwar balas: “Itu yang saya sedang jawab. Hulu terengganu ini tak dengar. Saya sedang jawab, Kota Madani ini untuk penjawat awam”.
BACA JUGA Tiada ‘teguran’ terhadap SPRM – PM Anwar