Nanta Linggi galas dua portfolio, ambil alih tugas Menteri Pembangunan Usahawan

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pengumuman pelantikan Alexander dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jemaah Menteri pada 28 November lalu.

“Kerajaan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan YB Datuk Ewon Benedick, Ahli Parlimen Penampang sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Alexander Nanta, 67, menerusi hantaran di Facebook pula merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

Di samping menjalankan tugas sebagai Menteri Kerja Raya, beliau berikrar, pelantikan itu akan digalas dengan penuh komitmen bagi memastikan kesinambungan operasi serta kelancaran fungsi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Pada masa sama, Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit di Sarawak turut merakamkan penghargaan atas segala sumbangan Ewon sepanjang menerajui KUSKOP.

“Saya komited untuk memastikan kerja-kerja kementerian berjalan dengan teratur dan dasar yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan demi manfaat usahawan, PKS (perusahaan kecil dan sederhana), koperasi dan rakyat secara keseluruhan.

“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua agensi, rakan industri dan pemegang taruh bagi memastikan kelancaran pentadbiran KUSKOP sepanjang tempoh saya menjalankan tugas ini,” kata pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu lagi.

BACA JUGA ‘Hulu Terengganu boleh pergi Putrajaya, beritahu penjawat awam kamu tak suka projek Kota Madani’