Pengimport telur India failkan saman fitnah terhadap Azmin

Syarikat pengimport telur dari India, J&E Advance Tech Sdn Bhd memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Datuk Seri Azmin Ali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Peguam syarikat itu, Elyse Ng Zi Qian dari Law Chambers of Han & Zi berkata saman fitnah itu adalah susulan kenyataan fitnah defendan terhadap syarikat berkenaan pada 11 Mac lalu selepas tidak menerima apa-apa maklum balas daripada surat tuntutan yang dihantar pada 3 April lepas.

“Kami telah menghantar writ saman bersama pernyataan tuntutan ke alamat beliau termasuk Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zi Qian berkata pengurusan kes pertama telah ditetapkan pada 15 Mei ini pada pukul 9 pagi di hadapan Timbalan Pendaftar Rozana Husin.

Dalam surat pernyataan tuntutan yang difailkan oleh plaintif setebal 20 muka surat yang dilihat Harapan Daily menyatakan, defendan telah membuat dan menerbitkan ucapan menfitnah itu di dalam satu Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman yang diadakan di Dewan Dato’ Ustaz Fadzil Noor, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Walaupun namanya tidak dinyatakan di dalam ucapan dan perkataan memfitnah tersebut, ia jelas merujuk kepada plaintif kerana ia merupakan satu-satunya syarikat Malaysia yang dibenarkan mengimport telur dari India seperti dimaklumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada sidang Parlimen pada 8 Mac lalu.

Katanya defendan telah secara niat jahat membuat dan menerbitkan ucapan memfitnah tersebut dan perkataan memfitnah tersebut terhadap plaintif selepas pengumuman menteri berkenaan.

Penerbitan memfitnah tersebut memberikan maksud plaintif adalah sebuah syarikat yang korup, syarikat yang tidak jujur dan tidak beretika.

Selain itu, ia juga memberikan pemahaman bahawa plaintif adalah sebuah syarikat yang telah melakukan kesalahan jenayah dan Kerajaan Malaysia adalah korup dan menyalahgunakan kuasa serta bertindak secara tidak berpatutan.

“Alegasi-alegasi defendan di dalam penerbitan-penerbitan memfitnah tersebut adalah tidak benar sama sekali, melampau dan kejam di mana plaintif tidak pernah terlibat dan tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa rundingan terus oleh Kerajaan Malaysia seperti mana yang dituduh oleh defendan,” katanya pernyataan tuntutan itu.

Harapan Daily dalam laporannya pada 4 April lalu menyebut J&E Advance Tech Sdn Bhd mengemukakan surat tuntutan saman sebanyak RM20 juta terhadap Azmin berhubung kenyataan fitnah beliau terhadap syarikat itu.

Syarikat itu telah mengarahkan untuk menuntut kos kerosakan sejumlah RM20 juta kerana menjejaskan reputasinya,” kata peguam syarikat itu.

Surat tuntutan itu memberikan tempoh selama tujuh hari kepada Azmin untuk memberikan maklum balas.

Jika gagal berbuat demikian tindakan undang-undang diambil terhadap beliau.

BACA JUGA: Pengimport telur hantar surat tuntutan saman RM20 juta terhadap Azmin