Malaysia teruskan BUDI95, tolak saranan Bank Dunia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan telah menegaskan pendirian meneruskan program penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi Budi Madani RON95 (BUDI95) dan sekaligus menolak saranan Bank Dunia yang mahu harga petrol ditetapkan mengikut harga pasaran.

“Cadangan (Bank Dunia) adalah untuk menaikkan harga kepada RM2.65 seliter untuk semua (kategori) petrol, kemudian memberikan subsidi khusus untuk kategori tertentu. Justeru itu, saya dan rakan-rakan jemaah menteri menolak cadangan tersebut, dan menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter bagi rakyat serta RM2.60 seliter bagi warga asing.

“Ini menunjukkan, pendekatan (kerajaan) yang lebih berhemat dan memberikan faedah kepada rakyat. Alhamdulillah, penyasaran subsidi RON95 di seluruh Malaysia ini sambutannya sangat baik dan positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Negara, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penyasaran subsidi secara menyeluruh itu memastikan bantuan terus dinikmati rakyat, di samping membanteras ketirisan subsidi kepada bukan warganegara serta kegunaan perniagaan.

“Ketika kerajaan menghentikan (pemberian) subsidi ayam dan telur, dan mengapungkan harganya, kerajaan memastikan harga kekal stabil, bekalan mencukupi dan rakyat tidak terkesan.

“Melalui pengapungan harga ayam dan telur, serta penyasaran subsidi elektrik, diesel dan RON95, kerajaan meraih penjimatan sekitar RM15.5 bilion setahun,” kata Anwar.

Dalam pada itu, beliau berkata ketika pembentangan Belanjawan 2026, kerajaan memilih untuk tidak memperkenalkan cukai baharu, sebaliknya menumpukan kepada penambahbaikan tatakelola, penyasaran subsidi dan pengukuhan pematuhan cukai.

“Lazimnya, apabila perbelanjaan tambahan diumumkan, kerajaan akan memperkenalkan cukai baharu, tetapi di Malaysia peruntukan ditambah tanpa menambah cukai baharu kerana kita (melaksanakan) penyasaran subsidi dan beberapa langkah lain bagi penjimatan dan mengelakkan ketirisan.

“Jika kerajaan Persekutuan mengambil langkah sedemikian, saya menyeru kerajaan negeri supaya turut berbuat demikian dan berhati-hati agar sebarang tindakan dan cukai baharu tidak membebankan rakyat,” katanya.