Sah Malaysia umum pencarian semula kapal MH370 pada Disember ini
Selepas lebih sedekad, Kerajaan Malaysia hari ini mengesahkan bahawa pencarian laut dalam untuk bangkai pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang akan disambung semula pada 30 Disember depan.
Menerusi kenyataan akhbar Kementerian Pengangkutan, Ocean Infinity telah mengesahkan dengan Kerajaan Malaysia bahawa ia akan memulakan semula operasi pencarian dasar laut selama 55 hari secara berselang-seli.
Pencarian akan dijalankan di kawasan sasaran yang dinilai mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk mencari pesawat, selaras dengan perjanjian perkhidmatan yang dimeterai antara Kerajaan Malaysia xan Ocean Infinity pada 25 Mac 2025.
Perkembangan terkini ini menggariskan komitmen Kerajaan Malaysia dalam menyediakan penyelesaian kepada keluarga yang terjejas oleh tragedi ini.
Penerbangan MH370, yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 12 anak kapal Malaysia dan 227 penumpang, hilang daripada radar trafik udara pada 8 Mac 2014.
Kehilangannya mencetuskan operasi pencarian terbesar yang pernah diadakan tetapi nasib pesawat itu tidak pernah diketahui.
Pada 2024, Malaysia menyatakan kesediaan untuk membuka semula siasatan terhadap kehilangan itu jika terdapat bukti baharu yang meyakinkan.