Samsul, Albert Tei akan didakwa esok dengan 5 pertuduhan

Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk pendakwaan, maklum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terhadap dua individu itu telah pun selesai dan pendakwaan akan dilakukan.

Kedua-dua mereka akan berdepan lima pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009.

Katanya, prosiding pertama akan dijalankan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok, sebelum kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat bagi satu lagi pertuduhan tambahan di bawah seksyen yang sama.

Shamsul Iskandar akan didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, iaitu melakukan kesalahan menerima suapan.

Albert Tei pula akan didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, iaitu memberi suapan.

“Di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat, kedua-dua mereka akan menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah seksyen sama,” katanya dalam sidang media hari ini.