Cabaran untuk PNK: Jadilah jantan dalam perniagaan, bukan hanya dalam perkahwinan

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Faiz Fadzil mencabar anggota Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) agar menjadi jantan dalam perniagaan, bukannya jantan dalam perkahwinan dan hidup semata-mata.

“Saya cabar PNK, jadilah jantan dalam perniagaan bukan hanya dalam kehidupan atau dalam perkahwinan sahaja,” katanya dalam ucapan aluann yang disampaikan sempena majlis sambutan ulangtahun LKIM ke 54 pada hari ini.

Beliau turut menambah bahawa Anugerah Persatuan Nelayan Kawasan akan diberikan setiap tahun untuk PNK yang memperoleh hasil perniagaan perikanan.

Cabaran tersebut dibuat industri perikanan negara kekal dikuasai nelayan tempatan dan bukannya dikuasai warga asing.

Ini kerana aliran keluar ringgit yang tinggi melibatkan warga India, Pakistan dan Indonesia.

Selaras dengan itu Faiz turut mengumumkan program pembangunan dan pencarian tekong tempatan.

“Menteri sendiri turut melihat keperluan tekong tempatan demi masa depan perikanan Malaysia,” katanya merujuk kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang turut menghadiri sambutan ulang tahun tersebut.

“Kekuatan hasil bumi harus dikuasai oleh kuasa tempatan. Sebab itu kita juga ada progeam pembangunan dan pencarian tekong tempatan,” kata Faiz.

Faiz turut mengumumkan bahawa fokus tambahan akan diberikan kepada perikanan akuakultur.

“Kita tidak boleh selamanya bergantung kepada hasil marin. Banyak projek dijalankan di pesisir pantai.

“Ini (tumpuan kepada akuakultur) adalah selaras dengan hasrat kerajaan agar 40 peratus hasil perikanan menjelang tahun 2030 dikeluarkan menerusi kaedah ini.”

Beberapa kawasan telah pun dikenalpasti untuk menjalankan projek akuakultur. Antaranya Pulau Langkawi dan Pantai Merdeka di Kedah.

Mohamad dalam ucapan perasmiannya pula menegaskan keperluan LKIM berfungsi dengan baik dalam fasa pelaksanaan.

“Sistem penyampaian yang baik bergantung kepada pelaksanaan. Belanjawan 2026 akan memastikan nelayan mendapat dana untuk menggantikan pukat dan kapal.

“Agrobank juga menawarkan RM1.1 billion untuk peningkatan teknologi dan naik taraf kapal.”

Beliau turut mengingatkan nelayan bahawa sibsidi minyak diesel dan sebagainya yang ada kini tidak semestinya diteruskan pada masa hadapan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa Pameran Pertanian, Hortikultur, Agro – Pelancongan 2026 (MAHA 2026) akan kembali membuka tirai.

Justeru itu beliau yakin LKIM akan mengetengahkan idea baharu seperti ide pasar terapung yang diperkenalkan pada 2024.

BACA JUGA: LKIM: Projek unjam di Kedah tingkatkan sumber ikan laut