Empat pertuduhan rasuah Shamsul Iskandar melibatkan wang RM176,829
Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM176,829 dalam bentuk suapan.
Shamsul, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan hakim Suzana Hussin.
Bagi pertuduhan pertama, Shamsul dituduh bersetuju menerima RM100,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan Tei memperoleh kelulusan bagi lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir Hotel Majestic, Kuala Lumpur, pada 24 November 2023.
Bagi pertuduhan kedua, Shamsul dituduh menerima perabot dan peralatan elektrik bernilai RM14,580.03 daripada Tei sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan ahli perniagaan itu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 31 Jan 2024 di alamat 131, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.
Bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa menerima wang tunai RM40,000 daripada Tei sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan ahli perniagaan itu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi yang sama seperti pertuduhan kedua, pada 29 Januari tahun lalu.
Bagi pertuduhan keempat, Shamsul dituduh menerima perabot dan peralatan elektrik bernilai RM22,249 daripada Tei sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan ahli perniagaan itu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Daripada RM176,829, sejumlah RM140,000 diterima dalam bentuk tunai.
Pertuduhan terhadap Shamsul dibuat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
BACA JUGA Shamsul Iskandar, Albert Tei didakwa hari ini