Exco Terengganu sedih lihat pekerja FGV pindah keluar

Exco Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim meluahkan rasa sedih melihat video pekerja-pekerja ladang FGV sedang memindah keluar peralatan dan aset mereka. 

Katanya, sehingga ke detik-detik akhir beliau masih berusaha untuk memastikan perkara seperti ini tidak berlaku iaitu dengan memastikan agar pihak Felda memenuhi tuntutan yang menjadi hak negeri Terengganu dan ladang-ladang FGV boleh terus beroperasi sebagaimana biasa. 

“Tuntutan kita mudah sahaja. Perkongsian keuntungan, premium tanah, cukai tanah. Dalam menangani krisis, Kerajaan Negeri Terengganu berpegang kepada sikap sensitiviti rasa kemanusian yang tinggi. 

“Pengurusan ladang dan pekerja FGV tak bersalah. Mereka hanya menjadi mangsa keangkuhan dan kedegilan pihak atasan yang membawa sikap sombong buah durian yang berhadapan dengan mentimun. Mereka lupa ada waktu durian boleh jadi tempoyak,” ujarnya.

Beliau mendakwa pihak atasan Felda memandang enteng kuasa dan keupayaan sebuah Kerajaan negeri kerana menyangka peringatan demi peringatan yang dimaklumkan oleh Exco Pertanian Terengganu hanyalah suatu retorik politik.

“Mereka seolah yakin bahawa kita tak mempunyai keupayaan untuk melakukan operasi penyitaan besar-besaran yang melibatkan berbelas ribu hektar ladang,” katanya.

Pun begitu, perkongsiannya dipersoalkan beberapa pihak yang menganggap beliau lah punca sehingga pekerja terpaksa berpindah keluar.

Konflik antara FGV dan kerajaan Terengganu tercetus selepas kerajaan negeri pada Ahad lalu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan FELDA di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar.

Tindakan itu diambil selepas FELDA gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30 peratus tanah milik kerajaan negeri diterokai sejak 40 tahun lalu.