Salahkan Felda tapi dua entiti kerajaan Terengganu pemegang saham terbesar FGV?

Pertikaian berterusan membabitkan kerajaan negeri Terengganu dan Felda-FGV terus mendapat perhatian masyarakat, dengan tumpuan kini beralih kepada titik permulaan konflik tercetus.

Penjelasan demi penjelasan dibuat oleh Exco Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim bagi mempertahankan tindakan kerajaan negeri.

Pun begitu banyak persoalan yang harus dijawab terutama mengenai dakwaan terbaharu bahawa dua entiti kerajaan negeri adalah pemegang saham terbesar di dalam FGV.

Menurut pendedahan yang sedang tular, dua entiti kerajaan negeri iaitu Yayasan Islam Terengganu dan PTB Ventures Sdn Bhd mempunyai saham paling besar di dalam syarikat perladangan itu.

Timbul persoalan bagaimana kerajaan negeri boleh mendakwa tidak mengetahui tentang urusan pajakan ladang tersebut, sedangkan Terengganu sendiri merupakan salah satu pemegang saham utama FGV sejak syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012.

Sejak pembelian saham ketika IPO, kedua-dua entiti kerajaan negeri didakwa telah menerima puluhan juta ringgit hasil dividen FGV termasuk keuntungan daripada ladang-ladang yang kini menjadi pertikaian selepas tindakan penyitaan dilakukan.

Pada 2017, pembangkang ketika itu pernah mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman supaya menjual saham FGV atas alasan ia merugikan negeri, walhal FGV membayar dividen setiap tahun.

Apabila parti yang sama mengambil alih pentadbiran negeri, saham tersebut tidak dijual. Sebaliknya, ia hanya dilepaskan pada 2025 selepas Felda membuat keputusan menyahsenarai FGV daripada Bursa Malaysia.

Laman Greater Terengganu Development mengkritik Exco negeri kerana membuat kenyataan tergesa-gesa di media sosial, tanpa meneliti fakta bahawa FGV tidak pernah “mengambil” tanah negeri secara senyap, kerana Terengganu sendiri merupakan antara pemilik besar syarikat itu sejak lebih sedekad lalu.

BACA JUGA Shamsul akan berusaha bersihkan nama melalui proses undang-undang