Ringgit naik RM4.11 sedolar, melonjak paras tertinggi 4 tahun

Ringgit melonjak kukuh hingga mencecah RM4.11 berbanding dolar Amerika Syarikat (USD), paras tertinggi dalam tempoh empat tahun lima bulan.

Ia susulan tekanan baharu terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan keyakinan pelabur terhadap Malaysia yang semakin pulih.

Penganalisis kewangan, Nazri Hamdan, menjelaskan bahawa pengukuhan mendadak itu dipacu oleh data pekerjaan AS yang jauh lebih lemah daripada jangkaan.

“Laporan ADP menunjukkan kejatuhan besar dalam pengambilan pekerja. Bila data makin lemah, pasaran yakin Fed mungkin potong kadar faedah lebih cepat.

“Bila jangkaan ‘rate cut’ naik, dolar melemah dan mata wang Asia seperti ringgit dapat angin baik untuk naik,” katanya.

Nazri menambah bahawa walaupun ringgit sedikit susut berbanding euro, pound dan yen, prestasinya mengatasi sebahagian besar mata wang serantau.

“Ringgit naik lawan SGD, rupiah, peso dan baht. Ini tunjuk pelabur mula nampak Malaysia sebagai pasaran stabil, dengan inflasi rendah, dasar fiskal lebih ketat dan sentimen pelaburan yang kembali pulih,” tegasnya.

Menurut Nazri, pengukuhan ringgit dapat mengawal inflasi tetapi dalam masa sama mengakui eksport mungkin terjejas sedikit jika ringgit mengukuh terlalu cepat.

“Buat masa sekarang, paras RM4.11 ni dianggap ‘sihat’ sebab ia datang daripada faktor global yang menjadikan Malaysia lebih menarik di mata pelabur,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan hala tuju ringgit bergantung kepada nada Rizab Persekutuan (Fed) dalam mesyuarat minggu depan.

“Kalau Fed beri isyarat jelas tentang pemotongan kadar, ringgit ada ruang untuk stabil atau sambung naik,” ujarnya.

Tambahnya, bagi rakyat biasa, kesannya mungkin dapat dirasai lebih cepat.

“Kos import boleh turun beransur-ansur dan tekanan harga jadi lebih terkawal,” kata Nazri lagi.

BACA JUGA Salahkan Felda tapi dua entiti kerajaan Terengganu pemegang saham terbesar FGV?