Fahmi Reza dakwa orang PKR buat laporan polis terhadapnya
Aktivis Fahmi Reza telah dipanggil pihak polis semalam selepas membuat siaran langsung TikTok “Kelas Demokrasi” dengan pelekat gambar tikus.
Pelekat tikus coklat mengenakan baju suit itu bertanda “PM”.
Dia disiasat di bawah Seksyen 504 dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut perkongsiannya di Facebook malam tadi, Fahmi mendakwa individu yang membuat laporan polis terhadapnya adalah “orang PKR” sebagaimana diberitahu pihak polis.
“Polis beritahu aku, orang yang buat laporN polis terhadap aku dan pelekat gambar tikus itu orang PKR,” katanya.
Sementara itu Ketua Dapsy Kebangsaan, Woo Kah Leong menyeru kerajaan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap pengkritik mahupun penyindir.
Beliau mengingatkan pihak berkuasa seperti PDRM bahawa kini bukan zaman kerajaan diktator seperti dahulu yang sesuka hati boleh menzalimi mana-mana pengkritik
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan PDRM yang menyiasat Fahmi Reza hanya disebabkan aksinya yang meletakkan pelekat gambar tikus PM dalam videonya.
“Hentikan segala intimidasi terhadap sesiapa pengkritik biarpun penyindir. Jangan lupa kesemua mereka pernah bersama dengan kami bila sebagai pembangkang.
“Standard yang sama harus digunapakaikan tidak kiranya sebagai kerajaan atau pembangkang,” ujarnya dalam satu kenyataan.
BACA JUGA Salahkan Felda tapi dua entiti kerajaan Terengganu pemegang saham terbesar FGV?