Konvokesyen Ke-11 SLDN: TVET kini arus perdana pembangunan Negara — Datuk Hjh Joyah

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Konvokesyen Ke-11 Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Malaysia oleh YB Datuk Hj. Rosli Abdullah, Timbalan EXCO Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama. Turut hadir Datuk Hjh Joyah Abd Rashid Pengerusi SLDN merangkap Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam Putrajaya anjuran bersama Saudagar DMDI Global & DMDI Malaysia di Dewan Canselor UTEM Melaka. 4hb Disember 2025 (Khamis)

Majlis Konvokesyen Ke-11 Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Malaysia berlangsung penuh istiadat dan emosi di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Hj. Rosli Abdullah, Timbalan EXCO Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka.

Turut mencuri tumpuan adalah ucapan penuh inspirasi oleh Datuk Hjh Joyah Abd Rashid, Presiden Persatuan PB SLDN Malaysia merangkap Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Putrajaya, yang menekankan kejayaan TVET sebagai nadi pembangunan negara.

Dalam ucapan yang dimulakan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, beliau menzahirkan rasa syukur atas keberhasilan penganjuran konvokesyen tersebut yang telah memasuki tahun ke-11, sambil menyifatkannya sebagai simbol kejayaan, ketekunan dan kemenangan peribadi bagi para graduan.

Menurut Datuk Hjh Joyah, penubuhan Persatuan Pusat Bertauliah SLDN Malaysia lebih sedekad yang lalu didorong visi jelas untuk memperkasa institusi latihan kemahiran, menyatukan pusat-pusat bertauliah, serta memastikan latihan di negara ini terus relevan dan berdaya saing.

“Kita bermula dengan sumber yang sangat terhad, namun semangat yang luar biasa. Hari ini, kita telah berkembang menjadi platform nasional yang menghubungkan ratusan pusat bertauliah, tenaga pengajar dan melahirkan ribuan graduan setiap tahun,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa TVET bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua, sebaliknya kini berada di arus perdana pembangunan negara seiring permintaan industri yang semakin meningkat.

Beliau turut menekankan bahawa TVET bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua, sebaliknya kini berada di arus perdana pembangunan negara seiring permintaan industri yang semakin meningkat.

“Industri hari ini memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi mahir secara praktikal. Graduan TVET adalah tulang belakang dalam sektor automotif, pembuatan, teknologi digital, hospitaliti, logistik dan banyak lagi,” ujarnya lagi.

Datuk Hjh Joyah turut merakamkan penghargaan kepada para pengajar dan jurulatih yang disifatkan sebagai individu paling penting di sebalik kejayaan graduan, serta rakan-rakan industri yang terus memainkan peranan aktif dalam menyediakan peluang latihan dan pekerjaan.

Beliau juga memberi penghormatan kepada ibu bapa dan keluarga yang menjadi penyokong utama perjalanan para graduan.

“Kejayaan anak-anak hari ini adalah kejayaan anda semua. Ini adalah hasil pengorbanan, kepercayaan dan sokongan yang tidak pernah putus,” katanya.

Kepada para graduan, beliau menyampaikan pesanan penuh motivasi agar terus meningkatkan kemahiran, tidak takut gagal dan sentiasa percaya kepada potensi diri.

“Kemahiran adalah aset yang tidak boleh dicuri dan tidak akan luput. Anda adalah generasi yang akan membentuk masa depan Malaysia. Bawalah nama TVET dengan bangga dan buktikan bahawa kemahiran adalah kekuatan,” tegasnya.

Di akhir ucapan, Datuk Hjh Joyah menegaskan komitmen berterusan Persatuan PB SLDN dalam memperjuangkan kualiti latihan serta hubungan kukuh bersama industri, demi memastikan TVET terus dihormati dan diiktiraf.

Majlis konvokesyen diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para graduan dan diakhiri dengan sesi bergambar rasmi. Suasana ceria dan penuh kebanggaan jelas terpancar pada semua yang hadir, terutama para graduan yang kini membuka lembaran baharu dalam kerjaya masing-masing.