Jumlah mangsa banjir di Perak, Selangor berkurang
Jumlah mangsa banjir di Perak dan Selangor pagi ini mencatatkan penurunan, manakala situasi di Perlis dan Pahang tidak menujukkan sebarang perubahan angka.
Bernama melaporkan, di Perak, 11 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di tiga daerah kini merekodkan sebanyak 1,455 mangsa banjir daripada 430 keluarga, berbanding 1,539 orang daripada 470 keluarga malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), daerah Hilir Perak masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 736 orang diikuti Bagan Datuk (421) dan Manjung (298).
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan beberapa daerah seperti Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak serta Muallim dijangka mengalami hujan pada sebelah pagi selain ribut pada petang dan malam ini.
Lapor Bernama lagi, jumlah mangsa banjir di Selangor turut menunjukkan penurunan kepada 306 orang daripada 104 keluarga pada pagi ini berbanding 429 orang daripada 134 keluarga malam tadi.
Sementara itu, JPBN Perlis memaklumkan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felcra Lubuk Sireh di Padang Besar masih kekal 15 orang pagi ini.
Di Pahang, tujuh sekeluarga masih berlindung di sebuah PPS di Kuantan tanpa sebarang perubahan angka pagi ini.