Respon positif banjiri media sosial ketika pramugari kini dibenar bertudung

Masyarakat menyambut baik pengumuman terbaharu syarikat penerbangan Air Asia yang kini membenarkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas.

Perkara ini mendapat respon positif kerana isu menutup aurat dalam kalangan pramugari sudah lama dibincangkan secara terbuka.

Langkah ini memberi makna besar buat wanita yang ingin meneruskan karier pada masa sama menjaga pemakaian selayaknya seperti saranan agama.

Tinjauan di media sosial, ramai membanjiri isu ini dengan respon positif baik dari ahli politik, pendakwah dan masyarakat biasa.

Bagi PU Rahmat atau nama sebenarnya Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, beliau menyifatkan langkah Air Asia sebagai perkembangan positif buat wanita Muslim yang bekerja dalam industri penerbangan.

“Pramugari yang cantik luar dan dalam, selamat bekerja sebagai ibadah,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Tidak kurang yang mengucapkan tahniah atas pelaksanaan penuh berani dan dianggap “menongkah arus”.

Ada juga yang melihat, perubahan lebih terbuka ini berjaya dicapai dengan usaha sama di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia adalah perkembangan besar yang membuatkan ramai berasa bangga kerana yakin pendekatan pentadbiran ketika ini lebih responsif terhadap pandangan masyarakat, khususnya dalam hal yang melibatkan sensitiviti agama.