Pesanan kepada PMX dalam memilih Kabinet baharu

Oleh LIYANA MARZUKI

Sejarah itu berulang. Untuk kita belajar darinya.

700 tahun dulu Ibnu Khaldun menulis.
5 pusingan jatuh dan bangun satu empayar atau satu negara. Sampai hari ini, coraknya sama sahaja.

1) Era KESATUAN

Rakyat susah, pemimpin dan rakyat bersatu, semua berjuang sama-sama. Lawan musuh dan bina negara dari kosong.

2) Era KEKUATAN

Negara mula stabil, pemimpin kerja kuat, disiplin tinggi, semua fokus bina institusi dan ekonomi.

3) Era KEMEWAHAN

Bila negara dah kaya, pemimpin dan inner circle mula pandang nikmat hidup. Hilang semangat membina negara. Mewah dan poya-poya jadi budaya.

4) Era KEROSAKAN

Mewah jadi barah, pembaziran, kroni, salah guna kuasa, moral pemimpin jatuh. Integriti bukan lagi nilai; ia jadi slogan.

5) Era KEJATUHAN

Rakyat hilang percaya, negara lemah, pemimpin saling tikam, akhirnya tumbang.

Ini kitaran berulang-ulang. Sepanjang zaman.
Terpakai kepada mana-mana empayar dan negara.

Dari Empayar Abbasiyah ke Empayar Uthmaniyah,
dari Kekaisaran Jepun ke Dinasti Ming dan Qing,
dari British Empire ke Soviet Union.

Coraknya sama.

Jadi norma

Bukan negara sahaja. Parti dan organisasi pun ikut kitaran ini.

Sebuah parti yang kuat akan melemah dan tumbang apabila rasuah, pembaziran dan salah guna kuasa jadi norma.

Bila pemimpin dan inner circle naik cepat tahap 3 atau 4, rakyat nampak, rakyat simpan resit… dan mereka akan hukum.

Parti pejuang kemerdekaan negara tumbang selepas 60 tahun.
Bukan hanya kes UMNO dengan 1MDB.
MCA dan MIC pun sekali. Skandal PKFZ dan Maika Holdings tak boleh lari.

Rakyat tak lupa.
Mereka hanya tunggu masa untuk menunjukkan kuasa.

Dan bukan semua parti dapat bertahan lama.
Ada yang baru sepenggal sudah masuk Era Kemewahan.
Ada yang belum mentadbir pun, tapi inner circle sudah berangan jadi bangsawan.

Cycle Ibnu Khaldun ini terpakai kepada semua bukan kepada mana-mana parti tetapi kepada sesiapa yang mengejar kuasa.

Kurang mudarat

Contoh terbaik: Jepun.

Parti LDP jatuh selepas 54 tahun memerintah.
Pembangkang naik… haru-biru.
Rakyat tengok, negara tak stabil.
Akhirnya rakyat undi balik LDP,
bukan sebab sayang parti,
tapi itu sahajalah yang ada.

Kadang-kadang, rakyat terpaksa pilih apa yang kurang mudarat,
bukan yang paling mereka suka.

The known devil rather than an unknown angel.

Hari ini, Kerajaan Perpaduan pun begitu.
Ramai boleh terima PM sedia ada,
kerana di sebelah sana, hancur lebun. Tiada wibawa.

Namun persoalannya:
Adakah PM ada team yang tepat untuk bawa negara ke fasa pemulihan?

Sun Tzu sudah berpesan:
“A leader is known through the quality of his generals”.

Saya harap PM kita tegas melawan patronage politics dalam memilih Kabinet baharu.

Kalau kita mahu naik ke Era Kesatuan, kita perlukan pemimpin yang:

🧩kompeten & faham dasar negara,
🧩membumi & ikhlas bekerja untuk rakyat,
🧩zuhud & tak gila kemewahan,
🧩mampu jaga harmoni sesama kaum dan agama.

Makanya, kalau PM hendak pulihkan Malaysia, semoga beliau pilih mereka yang berwibawa bukan kuota parti semata-mata.

Negara kita sekarang bukan tenat kerana bangsa atau agama.

Agama kita terjaga.
Bangsa kita masih kuat.

Yang tenat adalah negara,
Puncanya ialah akhlak politik,
dan budaya kuasa yang sudah rosak lama .

Negara perlukan,
pemimpin yang jujur,
rakyat yang waras,
dan generasi muda yang disemai jadi negarawan.

Moga PM yang ada boleh masukkan lebih banyak pemimpin muda. Groom mereka jadi negarawan. Mereka harapan kita untuk masa depan.

Bukan hanya cari bangsawan atau agamawan. Tambah kalau set-set ini, tidak faham konsep bina negara. Mereka hanya nak berkuasa. Sah nanti akan makan gaji buta.

Sunnahtullah sejarah

Setiap negara akan jatuh ke titik paling rendah sebelum bangkit semula.
Itu sunnatullah sejarah.

Cuma soalnya,
adakah kita belajar sebelum jatuh,
atau kita boleh buat sesuatu mengenainya.

Saya berharap Malaysia tidak perlu jatuh ke dalam gaung, baru kita memilih untuk bersatu.

Jauhi politik benci,
tolak anasir perpecahan,
dan kembalilah ke asas cycle Ibnu Khaldun:

♦️Kesatuan
♦️Kekuatan
♦️Kemewahan
♦️Kerosakan
♦️Kejatuhan

atau 🟦 Kesedaran sebelum semuanya terlambat.

Masa depan negara ini bukan di tangan bangsawan atau agamawan, tetapi di tangan mereka yang cintakan negara. Ikhlas membina, bukan ghairah berkuasa.

BACA JUGA Reformasi perolehan bawa standard baharu integriti dalam perbelanjaan awam