Hishammuddin, Hadi, Shafie MP paling banyak ponteng Parlimen

Rekod kehadiran sesi Dewan Rakyat tahun ini menyaksikan tiga ahli politik muncul sebagai Ahli Parlimen paling tinggi kadar ketidakhadiran.

Data menunjukkan bahawa Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencatat ketidakhadiran tertinggi, iaitu sebanyak 69 hari.

Bekas Menteri Pertahanan berkenaan merekodkan kehadiran hanya Sembilan hari iaitu 11.5 peratus sekaligus menjadikannya MP paling banyak ponteng Parlimen tahun ini.

Di tempat kedua ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang direkodkan ponteng sebanyak 65 hari.

Ini bermakna kelibat Ahli Parlimen Marang itu di Parlimen hanya muncul 13 hari iaitu 16.7 peratus daripada 78 hari persidangan Dewan Rakyat tahun ini.

Seterusnya, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula tidak hadir sebanyak 60 hari.

Mohd Shafie yang menjadi Ahli Parlimen Semporna secara berturut-turut sejak tahun 1995 itu mencatatkan kadar kehadiran 23.1 peratus.

Setiap ahli Parlimen menerima elaun RM400 bagi sehari persidangan yang mereka hadiri.

BACA JUGA Pesanan kepada PMX dalam memilih Kabinet baharu