Penyelesaian Palestin mesti menyeluruh, hentikan penjajahan Israel

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia kekal pendirian mahu konflik Palestin diselesaikan secara menyeluruh termasuk mengiktiraf hak rakyat Palestin dan menghentikan kezaliman serta penjajahan oleh rejim Israel.

Menurut Perdana Menteri, pendirian itu dibuat susulan perbualan telefon bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani semalam.

“Sheikh Mohammed Abdulrahman semalam memaklumkan perkembangan terkini mengenai usaha perdamaian Asia Barat.

“Perdana Menteri Qatar itu maklumkan bahawa sementara cara perdamaian yang dipelopori oleh Presiden Trump (Donald Trump) itu disambut baik oleh negara-negara Islam, tetapi kita masih musykil kerana pelanggarannya oleh Israel berterusan.

“Pembunuhan berterusan, kekejaman berterusan dan penjajahan dan penaklukan kawasan-kawasan di Tebing Barat juga masih diteruskan,” jelasnya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku, di Putrajaya hari ini.

Tokoh Muslim ke-10 paling berpengaruh di dunia itu berkata, beliau juga berpandangan bahawa perdamaian sebenar Palestin – Israel hanya dapat dicapai melalui pendekatan yang menyeluruh dan komprehensif.

Tambah beliau, Malaysia akan menyuarakan dengan tegas dan berani bahawa penyelesaian mesti dengan mengiktiraf hak rakyat Palestin dan Gaza selain menghentikan kezaliman, penaklukan dan penjajahan oleh rejim Israel.

BACA JUGA Hishammuddin, Hadi, Shafie MP paling banyak ponteng Parlimen