10 syarikat juara Bumiputera bakal lahir menjelang 2030

Kerajaan melalui kerjasama besar enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama sedang melaksanakan sebuah inisiatif mega bagi melahirkan 10 syarikat juara Bumiputera menjelang 2030, sekali gus mengubah landskap korporat negara.

Enam GLIC terbabit adalah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Penganalisis ekonomi Nazri Hamdan berkata, setiap syarikat terpilih kelak disasarkan memiliki nilai pasaran sekurang-kurangnya RM500 juta.

Sehingga kini, sebanyak 170 syarikat telah disaring, namun hanya 30 hingga 40 layak mara ke pusingan seterusnya sebelum senarai itu dikurangkan lagi kepada 10 finalis pada suku pertama 2026.

Beliau berpendapat apa yang menjadikan program tersebut lebih menonjol ialah pendekatannya yang bukan sekadar menawarkan modal atau geran, tetapi benar-benar memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti syarikat agar mampu ‘naik liga’ dan bersedia menembusi pasaran modal.

Kukuh bersaing

Menurutnya, GLIC terbabit akan memainkan peranan langsung melalui usaha pembangunan kapasiti, akses pasaran menerusi rangkaian mereka, nasihat strategi, serta perancangan value creation bagi memastikan syarikat yang dipilih mempunyai asas kukuh untuk bersaing.

“Langkah ini amat penting kerana banyak syarikat Bumiputera masih berdepan masalah pembiayaan, akses pasaran, dan kemampuan untuk scale, yang selama ini menjadi penghalang untuk mereka mencapai tahap penyeneraian di Bursa Malaysia,” katanya.

Nazri berkata, dengan peruntukan RM40 juta dalam Belanjawan 2026 bagi mempercepatkan proses scale-up, kerajaan menunjukkan komitmen jelas untuk membentuk generasi baharu syarikat Bumiputera yang benar-benar kompetitif dan tidak lagi bergantung pada kontrak kerajaan.

“Jika program ini mencapai sasaran, dalam tempoh lima tahun syarikat yang terpilih bukan sahaja akan menjadi lebih besar dan stabil, tetapi turut berpotensi untuk menjalankan IPO serta menarik pelabur baharu.

“Ini langkah penting ke arah ekosistem Bumiputera yang lebih matang dan mampu berdiri sendiri dalam pasaran,” kata Nazri lagi.

BACA JUGA Selangor antara 6 negeri dijangka ribut petir, hujan lebat hingga malam ini