Dari RM2 bilion ke RM4 bilion: Pembayaran balik cukai dipercepat

Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan menaikkan peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk membiayai proses pembayaran balik cukai kepada rakyat bertujuan mempercepatkan bayaran tertunggak dan ia langkah yang wajar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tambahan daripada peruntukan sedia ada RM2 bilion itu juga selaras dengan prinsip moral dan ihsan di bawah gagasan MADANI.

Jelasnya, ia wajar dilaksanakan kerana kerajaan tidak harus berhutang dengan rakyat seperti juga rakyat tidak sepatutnya berhutang dengan kerajaan.

Menurutnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan mula melaksanakan pembayaran berkenaan secara berperingkat mulai esok kepada pembayar cukai yang layak.

“Jika belum cukup, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican sedang meneliti bersama Ketua Pegawai Eksekutif LHDN untuk melihat bagaimana jumlah ini harus ditambah.

“Ini soal conscience, ini soal MADANI, soal ihsan dan hormat, ini soal moral juga. Kita harus kutip dan yang berhutang dengan negara harus cepat membayar.

“Jangan jadi amalan dulu, kalau orang itu kaya-raya atau bilionaire, rundingan mengurangkan itu mudah.

“Kalau orang itu di peringkat kecil, dituntut bayar tanpa rundingan.

“Jadi, ini sudah harus diubah, tetapi hutang kerajaan kepada syarikat harus dilunaskan dengan seberapa segera yang boleh,” kata beliau lagi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di Dataran Putrajaya, hari ini.

BACA JUGA 10 syarikat juara Bumiputera bakal lahir menjelang 2030