PM jamin janji PRN Sabah akan dilaksana mulai bulan ini

Semua janji dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 terutama naik taraf infrastruktur akan dilaksanakan bermula bulan ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat penyelarasan untuk memantau pelaksanaan projek utama akan diadakan setiap bulan.

“Kalau ada 250 projek utama, maka mesti dipantau setiap projek itu. Mesyuarat setiap bulan di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Langkah ini menjadi contoh terbaik yang boleh kita lakukan untuk melaksanakan kata-kata kita.

“Ini berbeza… orang politik dan pimpinan berjanji sebelum ini… sebelum pilihan raya… dan meninggalkan janji itu.

“Kita janji dalam tempoh seminggu kita turun, menetapkan kaedah pelaksanaan, kerana di sana masih terbelenggu masalah api, air dan jalan,” tegas beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di Putrajaya hari ini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau turut memberi jaminan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang mencecah belasan bilion ringgit antara Sabah dan Sarawak akan diteruskan dengan teratur dan mengikut jadual.

“Pan Borneo di mana RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak itu akan diteruskan dengan lebih teratur dan berkesan.

“Tahniah… sudah beres dengan jayanya di Sarawak dan kita setuju untuk berikan laluan red line tambahan ke Sarawak dan ke Sabah.

“Nampak pertama kali sejak projek itu diluluskan 10 tahun lalu, ini kali pertama perjalanan pelaksanaannya jauh lebih teratur dan berkesan dan Insya-ALLAH mengikut jadual,” kata Anwar lagi.

Jaminan Perdana Menteri terhadap pelaksanaan janji PRN lalu itu dibuat ketika PH hanya menang satu daripada 22 kerusi yang ditandingi.

BACA JUGA 10 syarikat juara Bumiputera bakal lahir menjelang 2030