AMANAH sambut baik pindaan Akta Finas 1981, seru pemerkasaan menyeluruh industri seni

Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik langkah kerajaan membentangkan pindaan terhadap Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244), yang disifatkan sebagai komitmen jelas untuk memperkukuh tadbir urus serta hala tuju industri kreatif negara.

Dalam satu kenyataan, Pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim, berkata pindaan tersebut bakal membuka jalan kepada pembangunan ekosistem seni yang lebih tersusun, telus dan progresif, seiring keperluan era kandungan digital yang berkembang pesat.

Beliau bagaimanapun menegaskan masih banyak ruang penambahbaikan bagi memastikan sektor kreatif Malaysia terus berdaya saing sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, ujarnya, AMANAH mencadangkan kerajaan mempertimbangkan mekanisme pembayaran royalti kepada pelakon serta karyawan seni setiap kali karya mereka termasuk drama, filem dan kandungan digital yang ditayangkan semula atau dimuat naik ke platform penstriman.

“Langkah ini bukan sahaja memberi pendapatan lebih adil kepada penggiat seni, malah mengiktiraf sumbangan mereka dalam menarik minat penonton dan merancakkan ekonomi industri hiburan,” ujarnya.

Dalam masa sama, biro tersebut turut menyarankan agar mana-mana produksi yang menerima dana FINAS dan mencatat keuntungan memperuntukkan sebahagian pulangan modal kepada agensi itu.

Mekanisme tersebut, katanya, penting bagi mengukuhkan semula dana pembangunan industri, seterusnya memberi lebih banyak peluang kepada pemain baharu untuk mendapatkan sokongan. Model seumpamanya juga telah berjaya dilaksanakan di beberapa negara.

Pasaran antarabangsa

Bagi melonjakkan kandungan tempatan ke pentas global, AMANAH mengesyorkan pendekatan menyeluruh termasuk latihan profesional bertaraf antarabangsa, kolaborasi dengan studio luar negara, geran pembangunan kandungan berorientasikan eksport serta sokongan pemasaran ke festival filem utama dunia.

“Pemerkasaan ini bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi industri kreatif, malah meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab penghasilan kandungan berkualiti tinggi,” jelasnya.

Wan Anwar turut menegaskan bahawa pindaan Akta FINAS wajar diperkukuh dengan inisiatif tambahan seperti pembayaran royalti, skim pemulangan modal keuntungan dan pembangunan kapasiti karyawan.

“Kerajaan, FINAS dan para pemain industri perlu terus bekerjasama bagi memastikan ekosistem kreatif negara berkembang secara mapan, inklusif dan berdaya saing,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Dari RM2 bilion ke RM4 bilion: Pembayaran balik cukai dipercepat