SPRM: Tuduhan Rafizi tidak berasas

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menafikan dakwaan bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa badan tersebut telah digunakan untuk menyiasat calon pemilihan PKR yang menyokong beliau.

Tuduhan tersebut tidak benar dan tidak berasas kerana SPRM hanya menjalankan siasatan berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima.

“Setiap aduan yang mempunyai asas akan melalui proses pengesahan dan siasatan mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan.

Rafizi Ramli yang juga adalah Ahli Parlimen Pandan mendakwa seorang calon yang sehaluan dengannya didakwa, ditahan dan disiasat SPRM di dalam rancangan audiosiar Yang Berhenti Menteri pada Jumaat.

Beliau mendakwa, pegawai SPRM mengepung rumah individu terbabit, menakutkan isteri dan anak-anaknya.

SPRM berkata, pegawai penyiasatnya hadir ke rumah tersebut untuk bertemu individu terbabit serta mendapatkan bahan bukti.

Namun, selepas individu tersebut didapati tiada di rumah, pegawainya beredar.

“Pada keesokan hari, individu berkenaan telah hadir sendiri ke pejabat SPRM, rakaman percakapannya diambil dan beliau dibebaskan tanpa penahanan,” kata SPRM menambah, semua tindakannya adalah selaras dengan keperluan dan tatacara siasatan.

“Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi yang tersedia, seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM. Ini mekanisme yang sah dan telus untuk menilai sebarang dakwaan salah laku.”

BACA JUGA: Dari RM2 bilion ke RM4 bilion: Pembayaran balik cukai dipercepat