Pas nak jadi khadam MCA?
Jika sebelum ini Tan Sri Abdul Hadi Awang tergamak menyindir AMANAH kononnya khadam DAP, Pas hari ini dilihat lunak pula ‘memujuk’ MCA yang tidak ingin menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana adanya Pas.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, partinya sentiasa terbuka untuk dialog yang menjernihkan kekeliruan.
“Apa juga pandangan terhadap Pas wajar dijernihkan melalui dialog terbuka dan bukan melalui persepsi yang tidak lengkap.
“Saya ingin menegaskan bahawa kami sentiasa bersedia berdialog dengan mana-mana pihak bagi menjelaskan dasar serta mengatasi sebarang kekeliruan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata tindakan segelintir pemimpin Pas yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi, sekali gus menyerlahkan konservatisme agama.
Ka Siong berkata, tindakan pemimpin Pas itu menyinggung perasaan penganut agama lain menyebabkan parti bukan Islam tidak sehaluan dengan PN.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, MCA sendiri pernah bekerjasama dengan Pas dalam kerajaan PN dan mengetahui secara dekat pendekatan Pas ketika mentadbir.
“Sepanjang tempoh itu, tidak pernah timbul sebarang konflik besar antara Pas dan MCA yang membawa perbalahan terbuka.
“Situasi ini berbeza dengan apa yang kita lihat dalam kalangan parti-parti kerajaan hari ini, yang sering berdebat di khalayak secara tidak produktif,” ujarnya.
Untuk rekod, MCA pernah menjadi sebahagian kerajaan ketika Pas dalam PN dengan Ka Siong dilantik sebagai Menteri Pengangkutan dalam Kabinet Mahiddin Yassin pada 2020.
Timbalan dan senator dari MCA juga dilantik sebagai timbalan menteri dalam pelbagai portfolio ketika itu.
Meneruskan pujukan, Ahmad Fadhli berkata, pengalaman pentadbiran bersama MCA dan Pas itu sepatutnya menjadi asas kefahaman bahawa Pas bukan parti yang memusuhi mana-mana kaum atau agama.
Malah, sembang Ahmad Fadhli, Pas sentiasa memilih jalan rundingan dan harmoni dalam menyelesaikan perbezaan.
“Jika masih wujud salah faham atau keraguan, pintu Pas sentiasa terbuka untuk dialog,” kata Fadhli lagi.
BACA JUGA Anak syarikat Ramssol jadi ejen kutipan JPJ