Atlet muaythai Jojo sedia bantu bangunkan ekosistem sukan di Selangor

FOTO BERITA: Pertemuan mesra antara YB Najwan Halimi dengan atlet muaythai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, atau lebih dikenali sebagai Jojo, bersama kedua-dua ibu bapanya di pejabat EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan di Shah Alam, Selangor. 8hb Disember 2025 (Gambar: FB Najwan Halimi)

Dalam sesi perbincangan tersebut, beberapa perkara utama disentuh merangkumi aspek kejurulatihan, peningkatan fasiliti kecergasan, pembangunan pusat latihan, serta peluang penganjuran acara muaythai berskala tempatan dan antarabangsa.

Jojo, yang kini menjalani latihan secara intensif di Thailand, turut berkongsi hasratnya untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memajukan ekosistem sukan muaythai tanah air. Beliau menzahirkan komitmennya untuk membantu melahirkan lebih ramai bakat baharu serta memperkukuh struktur pembangunan sukan dalam negeri.

“Saya menyambut baik hasrat murni Jojo tersebut dan menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri Selangor untuk bekerjasama dalam meningkatkan martabat sukan muaythai melalui inisiatif dan kolaborasi masa hadapan yang dapat direalisasikan secara praktikal serta berimpak tinggi” katanya. Kerajaan Negeri yakin bahawa dengan penglibatan atlet berpengalaman seperti Jojo, pembangunan sukan muaythai di Selangor berpotensi mencapai tahap lebih profesional dan kompetitif, sekali gus mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa.