Selangor lancar SIWANIS 2025/2026, perkukuh penyertaan wanita dalam pembuatan dasar

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Pelancaran Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025/2026 oleh YB Puan Anfaal Saari, EXCO Pembangunan Wanita Dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor. Turut hadir YB Tuan Lau Weng San Speaker Dewan Negeri Selangor dan Puan Siti Faridah Abdul Samad Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wanita Berdaya Selangor (WBS) di Dewan Bangunan Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor. 9hb Disember 2025 (Selasa)

Kerajaan Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) hari ini melancarkan Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025/2026, sebuah platform kepimpinan wanita yang bertujuan memperkukuh penglibatan wanita dalam proses pembuatan dasar dan keputusan di negeri ini. Inisiatif tersebut diterajui oleh EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, YB Anfaal binti Saari.

Memasuki kohort keempat, SIWANIS kali ini menerima sokongan tambahan melalui Program Perantis 2025 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Sokongan dana ini diyakini akan meningkatkan keberkesanan program dalam melahirkan lebih ramai pelapis wanita yang berkemahiran dan bersedia menyumbang ke arah pembangunan dasar negeri dan negara.

Seramai 56 peserta menyertai SIWANIS 2025/2026, melibatkan alumni program terdahulu serta aktivis politik wanita. Fokus penyertaan ini merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan kepimpinan wanita, terutama menjelang pilihan raya akan datang, bagi mencapai matlamat meningkatkan representasi wanita dalam pembuatan dasar serta pembentukan undang-undang.

SIWANIS 2025/2026 memberi tumpuan kepada empat komponen utama, iaitu, pembinaan dasar yang peka gender, pengenalan dan pengukuhan kefahaman terhadap proses pembuatan dasar, penegasan peranan Ahli Dewan Negeri sebagai penggubal dasar dan pembangunan kepimpinan wanita melalui modul latihan berstruktur.

Pelaksanaan program ini dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan penglibatan wanita dalam ekosistem pembuatan dasar, seterusnya menyokong pembentukan Selangor yang lebih inklusif, progresif dan berdaya saing menjelang tahun 2030. Ia juga selari dengan Matlamat 4 Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024–2026, yang menekankan usaha mempercepatkan penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan dalam kehidupan awam dan politik dalam kalangan wanita.


