KPKT–SWCorp perkukuh penguatkuasaan, 3,634 tapak sampah haram berjaya ditutup

FOTO BERITA: Program Sentuhan Kejayaan KPKT 2025 sempena Operasi Pembasmian Dan Penutupan Tapak Sampah Haram 2025 bersama YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Jalan Awam Cina, Taman Yarl, Kuala Lumpur. 11hb Disember 2025 (Khamis)

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) terus memperkukuhkan usaha membanteras pembuangan sampah haram melalui pelaksanaan Program Sentuhan Kejayaan KPKT: Operasi Pembasmian dan Penutupan Tapak Sampah Haram 2025. Program tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming.

Inisiatif ini menzahirkan komitmen KPKT dan SWCorp untuk menangani isu pembuangan sampah haram secara menyeluruh, terancang dan berimpak tinggi melalui pelaksanaan penguatkuasaan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Sehingga Oktober 2025, SWCorp telah melaksanakan operasi penguatkuasaan paling besar sejak penguatkuasaan Akta 672, dengan menutup 3,634 tapak sampah haram di tujuh negeri. Operasi pembersihan turut melibatkan 1,530 tan sisa pepejal serta kos pelupusan berjumlah RM406,500.00.

Melalui 4,268 operasi risikan, sebanyak 22 kes pembuangan sampah haram berjaya dibawa ke mahkamah, membabitkan jumlah denda RM385,000.00. Dalam tempoh yang sama, 185 kenderaan disita sejak 2015, termasuk 23 kenderaan pada tahun 2025, dengan proses pelucuthakan sedang dijalankan mengikut keperluan.

Bagi mempertingkat pengawasan, SWCorp telah memasang 47 unit kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi panas, yang berjaya mengesan 8 kes pembuangan haram bagi tindakan segera.

Menurut SWCorp, pencapaian ini membuktikan kesungguhan KPKT dalam memastikan kebersihan negara berada pada tahap optimum demi kesejahteraan komuniti.

KPKT menegaskan bahawa isu pembuangan sampah haram tidak boleh ditangani melalui operasi lapangan semata-mata. Justeru, pendekatan baharu dilaksanakan melalui Ops Pemutihan Pelesenan bagi memperketat kawal selia pengendali sisa komersial, perindustrian dan keinstitusian (CII) serta sisa pembinaan (C&D).

Langkah ini bertujuan mewujudkan proses pelesenan yang lebih teratur, telus dan berintegriti, sekaligus menangani punca utama aktiviti pembuangan sampah haram melalui pengawalan rantaian perkhidmatan pemungutan sisa.

Pendekatan bersepadu turut diperkukuh melalui kerjasama bersama PDRM, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi meningkatkan kecekapan operasi, pemantauan serta risikan.

Penguatkuasaan kini dipacu secara fokus tertumpu kepada kawasan kritikal, berisiko tinggi dan lokasi terpencil, bagi memastikan pelaku tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

KPKT melalui SWCorp turut melaksanakan Pelan Penutupan Tuntas untuk tapak-tapak sampah haram kategori kompleks termasuk kawasan persendirian, tapak C&D dan sisa industri. Pelan ini melibatkan proses penutupan fizikal, pemulihan, pemantauan berkala dan pengawasan lestari bagi mengelakkan pembukaan semula tapak.

Bagi memperkukuh pemantauan lapangan, SWCorp telah menubuhkan Unit Peronda Elit yang dilengkapi 100 buah motorsikal berkuasa tinggi yang mula beroperasi pada Disember 2025. Unit ini menjalankan rondaan di kawasan panas dan lokasi terpencil yang sukar dicapai.

Selain penguatkuasaan, SWCorp turut memainkan peranan penting dalam kerja-kerja pembersihan pasca bencana.







