Isu UEC tidak wajar dipolitikkan

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak wajar dipolitikkan kerana setiap rakyat mempunyai pilihan pendidikan masing-masing.

Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa itu, perkara paling asas yang perlu dijaga ialah sikap saling hormat terhadap sistem pendidikan yang wujud dalam negara.

“Setiap ahli politik ada pandangan masing-masing, itu perkara biasa. Tetapi bagi saya, yang paling penting ialah semua rakyat Malaysia menghormati apa yang kita ada.

“Kalau ada yang tidak bersetuju dengan UEC, mereka tidak perlu memilih aliran itu.

“Jika ada yang merasakan UEC diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mahu mengikutinya, itu pilihan mereka,” katanya.

Johari berkata demikian selepas merasmikan Program UK PACT 2.0: Kerjasama Malaysia-UK untuk Peralihan Iklim yang Dipercepatkan, di ibu negara hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Malaysia menawarkan pelbagai laluan pendidikan termasuk universiti, kolej dan aliran akademik berbeza tanpa sebarang paksaan.

Namun, dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa sekolah kebangsaan sudah mempunyai silibus yang ditetapkan kerajaan, justeru sebarang perubahan perlu dibuat dengan teliti.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menempelak DAP dengan menyasarkan kecamannya kepada Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dengan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi.

Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, DAP akan meminta pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pengiktirafan UEC.

BACA JUGA Desakan Mahiaddin letak jawatan bukan pandangan majoriti ketua bahagian Bersatu Perak?