AMANAH saran PH tubuh ‘Task Force’ analisis undi Cina dalam PRN Sabah
Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa Pakatan Harapan (PH) menubuhkan sebuah ‘Task Force’ khas bagi meneliti kemerosotan sokongan pengundi Cina dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, cadangan itu susulan mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu semalam.
Beliau berkata, penurunan undi di kerusi-kerusi ditandingi PH dalam PRN itu bukan hanya isu yang perlu dipikul oleh parti tertentu, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh komponen gabungan tersebut.
Menurutnya, penubuhan ‘Task Force’ berkenaan penting bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan sokongan tersebut serta mencadangkan langkah pembetulan yang perlu diambil segera.
Pada masa sama, AMANAH turut mengakui kejayaan Kerajaan Madani melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.
Namun, Khalid menegaskan bahawa keberhasilan itu masih belum diterjemahkan kepada sokongan politik yang kukuh.
“Pelaksanaan inisiatif-inisiatif kerajaan dilihat masih gagal mendapatkan sokongan rakyat atas sebab-sebab tertentu,” katanya menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sehubungan itu, AMANAH berpandangan bahawa kerajaan perlu mempertingkat usaha penerangan melalui agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta jentera parti dalam kerajaan.
Ia, jelasnya, selaras dengan keperluan memperkasa semua entiti komunikasi PH di bawah satu badan penyelarasan.
Selain itu, AMANAH, kata beliau turut menekankan pentingnya proses libat urus lebih meluas antara kerajaan dengan parti politik serta wakil masyarakat sebelum sesuatu dasar atau inisiatif dilaksanakan.
“Proses libat urus ini dapat membantu kerajaan untuk memahami kehendak rakyat dalam sesuatu persoalan dan mengelak kesan yang tidak diingini terhasil dengan dilaksanakan sesuatu inisiatif.
“Pada masa yang sama, libat urus ini juga memberi peluang kepada rakyat untuk memahami hasrat dan matlamat kerajaan dalam menggubal inisiatif berkenaan,” kata Khalid lagi.
BACA JUGA Isu UEC tidak wajar dipolitikkan