Menteri Komunikasi dikurnia Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ bersempena Hari Keputeraan ke-80 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan merupakan antara 98 individu yang menerima Darjah dan Bintang Kebesaran pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail turut dikurniakan darjah kebesaran sama yang membawa gelaran Dato’ bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita daripada keseluruhan 16 penerima Darjah Kebesaran D.P.M.S.
Terdahulu, Sultan Selangor berkenan berangkat bagi mengurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan baginda.
Berangkat sama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta isteri Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Pada istiadat itu, anakanda Sultan Sharafuddin iaitu Tengku Zerafina mendahului senarai penerima Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-80 baginda.
BACA JUGA Isu UEC tidak wajar dipolitikkan