Albert Tei berhentilah berlakon
Tindakan Albert Tei yang semakin hari semakin jelas menunjukkan sifat pelakon kelas ketiga yang selesa menjaja cerita di media tetapi kecut bila berdepan undang-undang.
Serangan beliau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah cubaan paling terdesak untuk mengalih perhatian daripada percanggahan dan kepincangan dirinya sendiri.
Hakikat yang tidak boleh disembunyikan lagi ialah di hadapan media, Albert Tei mengaku memberi rasuah dengan penuh bangga seolah-olah mahu dipuji sebagai wira reformasi.
Tetapi di hadapan mahkamah, tiba-tiba beliau mengaku tidak bersalah.
Persoalan paling mudah yang rakyat tanyakan ialah, adakah beliau hilang ingatan, hilang prinsip, atau hilang keberanian apabila berdepan hakim sebenar?
Pengakuan di luar mahkamah tetapi penafian di dalam mahkamah hanya menunjukkan satu perkara iaitu kata-kata beliau tidak boleh dipercayai, dan integriti beliau berada pada tahap paling rendah.
Seorang pemberi maklumat yang tulen tidak berubah pendirian mengikut siapa yang memegang mikrofon.
Lebih memalukan, selepas mencipta kecelaruan sendiri, beliau cuba menuduh Perdana Menteri pula kononnya tidak telus atau cuba menutup sesuatu.
Ini adalah cara lama mahafiraun bila terperangkap, cari kambing hitam, dan sasaran paling mudah ialah mengaitkan dengan Perdana Menteri yang tegas melawan rasuah.
Cara sedemikian bukan sahaja dangkal, tetapi mencerminkan kecelaruan logik yang amat ketara.
Seseorang yang tidak konsisten dalam kenyataan peribadinya sendiri cuba mengajar negara tentang integriti?
Saya ingin mengingatkan beliau bahawa negara ini mempunyai sistem perundangan, bukan pentas drama.
Kepada Albert Tei, jika benar, kekallah benar di media dan di mahkamah. Jika tidak, berhentilah memperbodohkan rakyat dengan lakonan yang semakin hambar.
Artikel ditulis Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin