Isu UEC : Ini pendirian PM Anwar
Kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan akan tetap didukung dan dipertahankan, tanpa mengira pihak atau parti yang memperjuangkan perkara tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kebelakangan ini ada suara pelbagai tuntutan soal bahasa, ada yang nak tekankan bahasa Inggeris, ada yang nak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Saya nak jelaskan begini – ini Malaysia, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan siapa pun dalam percubaan mereka untuk membawa mesej sesuatu bahasa, mesti ingat bahawa bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia. Yang itu kita noktahkan, jelaskan,” katanya.
“Kalau ini dah jelas, nak bangkitkan soal keperluan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris, saya setuju.
“Tapi bahasa Melayu, bahasa bidang teknologi baru, bahasa AI (kecerdasan buatan), bahasa untuk bahasa ilmu, itu mesti dimantapkan dan penguasaan bahasa itu harus baik dalam kalangan semua rakyat.
“Semua aliran… saya tak kira Cina, Tamil, Inggeris mesti menguasai bahasa Melayu dan ini juga syarat yang kita kenakan untuk sekolah-sekolah antarabangsa… dia boleh menggunakan perantaraan bahasa Inggeris tapi mesti lulus dan menguasai bahasa Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kuah, Langkawi sebagai respon kepada cadangan timbalan pengerusi DAP Nga Kor Ming yang mahu membincangkan isu pengiktirafan UEC.