Tiada caj atau ejen: KBS tegaskan ketelusan dalam permohonan dana sukan 2026

FOTO BERITA: Sidang Media Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2026 bersama YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan di Lobi Menara KBS, Presint 4, Putrajaya. 12hb Disember 2025 (Jumaat)

Selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuhkan budaya sukan, memperkasa badan sukan dan melonjakkan prestasi atlet negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan penyediaan tiga dana utama sukan bagi tahun 2026. Dana tersebut ialah Geran Padanan Sukan (GPS), Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) iaitu Geran Padanan Sukan (GPS), Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).

Menurut Hannah Yeoh, semua permohonan bagi dana-dana ini hendaklah dibuat mengikut syarat yang ditetapkan melalui laman web rasmi kementerian di bahagian Geran / Bantuan, yang dibuka mulai 15 Disember 2025.

Beliau menegaskan bahawa pihak kementerian serta agensi di bawahnya tidak mengenakan sebarang caj, komisen atau fi untuk permohonan atau kelulusan dana. KBS juga tidak melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga untuk menguruskan permohonan.

Orang awam diminta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan permohonan dana kepada Unit Integriti KBS di unit_integriti@kbs.gov.my atau SPRM melalui portal aduan rasmi.

KBS turut mengeluarkan peringatan tegas bahawa tiada individu atau organisasi dibenarkan membuat tawaran menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa tanpa kelulusan bertulis Menteri, sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576]. Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk penelitian oleh Jawatankuasa Pengurusan Acara Sukan Antarabangsa (JKPASA).