Formula kerjasama PRN Sabah dijangka akan digunapakai oleh BN dan PH dalam PRU 16

Formula pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini dipercayai bakal digunakan dalam pilihan raya umum ke 16 nanti apabila Barisan Nasional (BN) mengumumkan akan menggunakan logonya sendiri.

Ini bermakna, BN dan Pakatan Harapan (PH) akan menyertai PRU 16 dengan menggunakan logo masing-masing tetapi bekerjasama.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memaklumkan, BN akan bertanding secara solo menggunakan lambang dacing dalam PRU 16 nanti.

“BN, bukan Umno, akan bertanding secara solo dalam pilihan raya nanti, tetapi tidak semestinya tidak bekerjasama dengan parti-parti lain supaya tidak ada pertindihan kerusi ataupun jentera kita boleh bekerjasama antara satu sama lain.

“Itu maksud saya bertanding secara solo, kita tidak akan menggunakan lambang lain-lain parti atau lambang lain-lain parti gabungan,” kata Zahid kepada media hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, BN akan bekerjasama secara bijaksana.

“Kita akan bekerjasama secara bijaksana. Tidak bermusuh dengan ramai orang lebih baik dan tidak angkuh tanpa memperdulikan iklim politik yang semakin berubah,” katanya.

Semasa PRN Sabah baru-baru ini, BN bekerjasama dengan PH dan GRS dengan tidak bertembung antara atu sama lain kecuali beberapa kerusi.

BACA JUGA “Saya tak tahu apa-apa” jadikan Sanusi yang garang terkedu