RXZ Member Ride 3.0 Melaka: Polis keluarkan 87 saman
Sebanyak 87 saman telah dikeluarkan pihak polis sepanjang program RXZ Member Ride 3.0 yang berlangsung di Melaka.
Antara kesalahan paling tinggi dikesan adalah kesalahan tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak 14 saman dan 13 saman membabitkan kesalahan tiada lesen memandu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, bermula Jumaat hingga Ahad lalu, terdapat juga penunggang motosikal tidak menampal pelekat cukai jalan. Pihak polis mengeluarkan 11 saman untuk kesalahan itu.
“Kita turut mengeluarkan sembilan saman terhadap penunggang yang gagal memiliki perlindungan insurans sah.
“10 saman lagi dikeluarkan atas kesalahan penggunaan aksesori tidak dibenarkan,” katanya kepada media.
Tambah beliau, penguatkuasaan turut mengesan lima kes motosikal tanpa nombor pendaftaran, selain empat kes ubah suai ekzos yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.
“Lima saman dikeluarkan kerana gagal memakai topi keledar, manakala enam kes melibatkan motosikal tanpa cermin sisi.
“Kesalahan lain yang turut direkodkan termasuk kesalahan nombor plat, lampu brek tidak berfungsi, tidak mematuhi arahan pihak berkuasa, serta gagal berhenti apabila diarahkan,” ujarnya.
BACA JUGA Netizen berdebat susulan pusat beli belah benarkan haiwan peliharaan masuk dalam bangunan