Isu MIC: Bezakan kepemimpinan berakal, mengkhayalkan – Pemuda UMNO
Pemuda UMNO mengingatkan tentang perbezaan antara kepemimpinan yang berakal dengan kepemimpinan yang mengkhayalkan berhubung kedudukan MIC dalam Barisan Nasional (BN).
Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil, berkata kepemimpinan BN sentiasa terbuka untuk berbincang, malah beliau berharap MIC dapat kembali bersama memperkukuhkan BN.
Beliau berharap MIC dapat bermuhasabah dan menggunakan ruang perbincangan, termasuk melalui Dewan Tertinggi BN, untuk menyuarakan isu meliputi berkait kedudukan mereka dalam gabungan itu.
“Ruang perbincangan sentiasa terbuka, sama ada melalui Dewan Tertinggi BN atau apa-apa saluran musyawarah yang matang, tetapi kena hadirlah mesyuarat, bukan memberikan alasan memanjang.
“Contohilah Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Presiden MCA). Walaupun wujud perbezaan pandangan, beliau tetap hadir ke meja perbincangan dan mencari titik temu demi kestabilan bersama.
“Di situlah perbezaan antara kepemimpinan yang berakal dengan kepemimpinan yang mengkhayalkan,” kata Fadzmel dalam satu kenyataan, hari ini.
Berhubung dakwaan Ketua Pemuda MIC, K Arvind, bahawa Ahmad Zahid bersikap ‘siang cakap lain, malam pula cakap lain’, Fadzmel menegaskan ia adalah penjelasan Ahmad Zahid terhadap rentetan tindakan MIC yang dilihat bercelaru mutakhir.
“Apa yang paling mengeliru dan menyedihkan ialah apabila MIC pada satu masa menyatakan kecenderungan untuk bersama Perikatan Nasional (PN) tetapi pada masa sama, menegaskan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Hakikatnya, kecenderungan MIC ke arah PN bukan perkara baharu. Satu Malaysia tahu betapa rapatnya Tan Sri S A Vigneswaran (Presiden MIC) dan Datuk Seri M Saravanan (Timbalan Presiden MIC) dengan pimpinan PN.
“Dari dulu lagi, mereka menyatakan hasrat untuk menyertai PN. Namun ketika itu, mereka tidaklah mabuk kuasa tetapi hanya keliru,” tempelaknya.
Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilapor berkata pihaknya belum menerima surat daripada MIC berhubung usul pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC Ke-79, baru-baru ini, untuk keluar dari BN.
BACA JUGA Tekanan warga pondok desak tindakan terhadap dua tuan guru ditarik balik