Presiden Pas tergamak gelar ‘syaitan besar’
Presiden Pas tergamak menggunakan retorik melampau yang tidak mencerminkan realiti diplomasi dan hubungan antarabangsa negara apabila menyamakan jemputan diplomatik kerajaan Malaysia terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebagai tindakan “mengundang syaitan besar”.
Menerusi kenyataan panjang berbaur emosi itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengaitkan langkah diplomatik kerajaan MADANI dengan kononnya tunduk kepada kuasa Barat, selain menyamakan kerjasama antarabangsa dengan pengaruh sekularisme dan tipu daya syaitan.
“Ketika masyarakat antarabangsa tidak bersimpati lagi terhadap Zionis dan sekutunya kerana kezaliman dan keganasan melampau di Palestin — namun mereka diselamatkan dengan kuasa veto Amerika Syarikat dan sekutunya daripada hukuman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan badan antarabangsa yang lain — adakah wajar negara kita yang menjadikan Islam agama negara memberikan penghormatan kepada pemimpin yang nyata menjadi syaitan besar pada zaman kini?” kata Hadi.
Hujah panjang lebar daripada Ahli Parlimen Marang itu terkandung dalam Minda Presiden bertajuk, “Reformasi Malaysia membuka pintu normalisasi dengan Zionis” yang disiarkan Harakahdaily semalam.
“… reformasi yang dilakukan laksana kita menjadi kelekatu yang mengejar ke arah cahaya api yang menarik hawa nafsu tanpa peduli akan bangkai-bangkai kawanannya yang telah terbakar dimakan api,” kias Hadi.
Dakwanya lagi secara sinis, “disebabkan tergoda dengan tipu daya syaitan yang menarik hawa nafsu kebendaan yang banyak terkumpul dalam Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia (World Bank) serta kekuatan bala tentera AS dan sekutunya, maka politik, ekonomi, dan keselamatan berkiblat ke arahnya, walaupun solat dan hajinya menghadap Kaabah (kiblat di Makkah).”
Pengucap amanat di Banggol Peradong, Terengganu pada 1981 yang mengakibatkan perpecahan masyarakat Melayu itu menganggap apa yang berlaku sekarang sebagai langkah kalangan yang terpengaruh dengan sekularisme yang memisahkan urusan dunia daripada petunjuk agama.
“Kerajaan Malaysia Madani PH mengundang syaitan besar menjadi tetamu negara disebabkan tergoda dengan lagak takburnya yang menjadi sifat Iblis dan mahu menjadi kuasa besar tunggal yang menguasai dunia seluruhnya,” dakwa Hadi lagi.
BACA JUGA Steven berat hati nak ‘pergi’ tapi sedia galas tanggungjawab besar