Didakwa hina istana Johor, Fahmi Reza dihujani lebih 50 laporan polis
Fahmi Reza berdepan lebih 50 laporan polis yang menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap aktivis dan pereka grafik berkenaan yang dilihat menghasut serta menghina Pemangku Sultan Johor dan institusi Diraja Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, berkata laporan polis sedang dibuat secara meluas di seluruh Johor membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia negeri dan juga daerah, selain pergerakan pemuda UMNO di beberapa bahagian.
Menurutnya, kira-kira 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Rengit, Kota Iskandar, Kempas, Larkin, Yong Peng, Bekok, Semerah dan lain-lain turut tampil membuat laporan polis.
“Saya difahamkan lebih 50 laporan polis termasuk dilakukan oleh ketua-Ketua UMNO bahagian… semua laporan ini dibuat berhubung kenyataan Fahmi Reza yang dilihat bersifat menghasut serta menghina Pemangku Sultan Johor dan institusi Diraja Johor.
“Saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail @ Md On turut membuat laporan polis,” katanya.
Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat menegaskan bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab Fahmi secara jelas mencabar prinsip kedaulatan Raja Berperlembagaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Satira politik
Kelmarin, Fahmi memberitahu bahawa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meminta platform X untuk memadam kenyataan yang ditulisnya pada 7 Disember lalu kerana disifatkan melanggar undang-undang di negara ini.
“X e-mel aku kata mereka tak layan permintaan SKMM. Posting tu masih ada. Aku tak akan padamkan,” katanya.
Dalam satu hantaran lain pula, Fahmi menegaskan bahawa dia tidak pernah gentar untuk mengkritik mana-mana pihak termasuk institusi beraja melalui pendekatan satira politik.
Jelasnya, satira merupakan ‘senjata’ yang konsisten digunakannya tanpa mengira individu yang menjadi Yang di-Pertuan Agong atau Raja Permaisuri Agong, malah melibatkan anak raja dari mana-mana negeri.
Mengulas lanjut, Aznan berkata, hantaran sedemikian bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat Johor, malah berpotensi mencetuskan kemarahan, keresahan dan ketegangan dalam masyarakat.
Jika dibiarkan, tegas pemimpin UMNO berkenaan , tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh mengganggu keharmonian awam, keselamatan serta kestabilan sosial yang selama ini dipelihara bersama.
“Saya ingin menegaskan bahawa Institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak utama perpaduan, kestabilan dan kelangsungan negara.
“Sebarang cubaan merendahkan, mempersenda atau memprovokasi sentimen rakyat terhadap institusi ini adalah sama sekali tidak boleh diterima,” kata Aznan lagi.
BACA JUGA Menteri Belia dan Sukan yang baharu imbas kad perakam waktu