‘Gelombang hijau’ makin lemah, PN sukar menang di Negeri Sembilan
Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berpendapat bahawa Perikatan Nasional (PN) semakin hari semakin hilang kekuatan, sekaligus menyukarkan gabungan itu merampas Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, ‘gelombang hijau’ yang dibawa blok pembangkang diketuai Tan Sri Mahiaddin Md Yasin itu hanya kelihatan begitu kuat pada empat bulan lalu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Namun, gabungan itu di Negeri Sembilan, jelasnya, tidak sekuat seperti di negeri-negeri utara Semenanjung, apatah lagi selepas beberapa pemimpin Bersatu diheret ke mahkamah atas pelbagai pertuduhan rasuah.
“Kini, ‘gelombang hijau’ semakin lemah dari hari ke hari, terutama dengan masalah mahkamah yang dihadapi Bersatu.
“PN berada dalam kedudukan yang sukar,” katanya seperti dilapor FMT hari ini.
Dalam masa sama, Azmi berkata, kedudukan Umno yang stabil juga bagus untuk PH dan BN dan berpendapat keadaan itu dimahukan pengundi Negeri Sembilan.
“Perbalahan dalam Umno sebelum PRU lepas telah menjauhkan ramai pengundi,” katanya.
Dengan sebahagian besar kepimpinan Umno dilihat sejajar dengan Presiden Zahid Hamidi, tambah Azmi lagi, perbalahan dalaman dan sabotaj akan berkurangan dan parti itu boleh menggambarkan dirinya sebagai “lebih stabil”.