Lain macam majlis graduasi Gen Alpha, bijak guna kombinasi AI

Majlis graduasi sekumpulan murid tadika di ibu negara yang menggunakan kombinasi teknologi AI menjadi perhatian ramai.

Para guru menghasilkan video AI yang memaparkan gambaran cita-cita setiap murid apabila dewasa kelak, yang ditayangkan pada skrin besar ketika mereka naik ke pentas untuk menerima skrol. 

Dalam video tersebut, ada murid yang bercita-cita menjadi polis, doktor, guru, malah ada juga yang membayangkan diri mereka sebagai juruterbang, dan saintis berjaya. 

Setiap visual digarap ringkas dengan paparan masa depan setiap seorang dari mereka.

Majlis itu bukan sahaja mencuri tumpuan ibu bapa dan guru, malah pengguna media sosial turut memuji kreativiti para guru yang memanfaatkan teknologi Ai dengan benar.

Pengguna juga menyifatkan majlis graduasi Gen Alpha kini sememangnya luar biasa, jauh berbeza dengan mereka sebagai milenials.

“Ini baru betul cara guna AI. Macam ini lah baru bersemangat anak-anak. Terbaik,” komen Jue Jue.

“Saya kalau anak dekat situ kalau tengok ini sebagai ibu bapa, saya sebak. Impian kita sebagai ibu bapa ini memang nak tengok anak-anak membesar dengan baik dan berjaya dalam bidang yang mereka minati,” kata Anne Ahmad.

“Tahniah anak-anak. Semoga menjadi generasi yang berjaya. Zaman sekarang untung sangat tau ada AI yang realisasikan gambar cita-cita anak-anak. Zaman acik dulu, lukis gambar cita-cita pun tak tahu rupa apa,” seloroh N Arriety NK.

BACA JUGA Peguam, bekas pegawai Kementerian Wilayah terangkan kuasa Menteri Wilayah